Saturday 6 August 2011

ALLAH ITU MAHA INDAH

Allah Itu Maha Indah.
Seindah  99 namaNya.
Semerdu KalamNya
tak jemu dibaca berulang-ulang kali.

Apabila menyebut namaNya
bergetar hati meruntun jiwa.
Apabila tidak menyebut namaNya
hati  pilu seperti ditusuk sembilu pilu.
Apabila membaca KalamNya
wangian cintaNya meresap dalam
roh dan jasad terus merinduiNya
menanti dan menunggu untuk
bertemu denganNya.
Moga terpilih menjadi kekasihNya.
Amin. Ya Rabbal A’Lamin.

Karya:  Ummu Sal
26 Mac 2011

ADAKAH DEGUPAN JANTUNG SEIRING ZIKIR PADANYA

 

Ya Allah …
Baru kini aku tahu
betapa besarnya kuasa-MU
menjadikan setiap jantung
manusia berdegup sebanyak
seratus ribu kali degupan sehari.
Masya-Allah naifnya aku
tentang kejadian ini.

Aku terkesima dalam
ketaksupan aku tentang
Kebesaran-Mu ini
aku meratapi diriku
tentang berapa kali pula
aku bertasbih pada setiap
helaan nafasku pada-Mu
jika hendak dibandingkan dengan
seratus ribu kali degupan jantungku ini.

Ya Allah aku malu dengan diriku sendiri
kerana adakah aku tergolong hambaMU
yang  mengucapkan syukur  setiap nikmat
kehidupan yang Kau limpahkan padaku?
 Tolonglah aku Ya Allah jadikanlah hamba-Mu
 terpilih untuk mengucapkan syukur
dengan berzikir pada-Mu di sebilang masa
dan seketika selagi nafasku Kau pinjamkan!
Biar degupan jantungku  ini bermanfaat
untuk  roh dan jasadku ini selagi hayat
di kandung badan.
Amin Ya Rabbal A’ lamin

Karya : Ummu Sal
13 Mac 2011

MOGA KITA SEKELUARGA MENJADI PENGHUNI SYUGANYA

Anakanda  yang disayangi dunia akhirat,
Anakanda pengikat kasih ayahanda  bonda;
Kelahiranmu membuatkan kasih bertaut erat,
Moga menjadi anak kebanggaan ayahanda  bonda.

Pembesaranmu setiap tahun ayahanda pastikan,
Anakanda mempelajari  Hadis dan Al-Quran;
Mindamu terisi dengan ilmu yang tidak menjemukan,
Berusaha terus berusaha menuju kejayaan.

Ayahanda akan terus memimpin anakanda,
Mendidikmu berpandukan Al-Quran dan Hadis;
Agar menjadi  khalifah Allah duhai anakanda,
Pasti ayahanda dan bonda bersyukur terus-nenerus.

Semakin banyak waktu ayahanda berkongsi,
Semakin anakanda bersedia menghadapi masa hadapan;
Anakandalah harapan ayahanda tanpa sangsi,
Ayahanda sentiasa letakkan sejuta harapan.

Sekalipun anakanda tidak mampu melangkah ke hadapan,
Ayahanda akan terus membimbingmu;
Agar anakanda berani menghadapi segala rintangan,
Yang datang mengujimu dari segenap penjuru.

Anakanda pergilah semampu sejauh mungkin,
Memburu impian menggapai cita-cita;
Ayahanda bonda sentiasa memberi  sokongan,
Agar menjadi realiti segala yang dicita.

Capai setinggi mana mungkin cita-citamu,
Ilmu yang dituntut jangan sekali rasa jemu;
Kegagalan tidak akan pernah bertamu,
Kejayaanmu kebanggaan ayahanda bondamu.

Dalam menuju segala kejayaan,
Cahaya keimanan amat diperlukan;
Allah jangan sekali dilupakan,
Barulah cahaya hidayah menjadi peneman.

Kasih sayang ayahanda tidak pernah luntur,
Ayahanda rela berkorban apa saja untukmu;
Asalkan anakanda cekal dan sabar,
Kerana sabarmu mengundang Rahmat dari Tuhanmu.


Apabila segala ilmu terpasak di dada,
Pasti anakanda sendiri melepaskan tangan ayahanda;
Dan tika itu ayahanda tersenyum bangga,
Melihat anakanda menyambung perjuangan ayahanda.

Anakanda… buah hatiku pengarang jantung,
Ingatlah pesanan kami ini;
Jadilah anak soleh berjiwa pejuang,
Moga   kita sekeluarga ke Syurga  nanti.

Ayahanda dan bonda tersayang,
Kasih sayangmu anakanda tak akan persiakan;
Anakanda berjanji akan menjadi anak cemerlang,
Menjadi anak soleh beriman yang dibanggakan.

Anakanak hargai pengorbanan ayahanda ,
Tanpa jemu mendidik membimbing anakanda;
Moga Allah membalas segala budi ayahanda bonda,
Alhamdulillah anakanda diKurniakan ayahanda bonda.

Ayahanda dan bonda yang disayangi,
Anakanda  akan berazam mencapai cita-cita;
Meneruskan perjuangan ayahanda yang suci murni,
Membela agama bangsa dan Negara tercinta.

Anakanda sentiasa bangga dengan ayahanda,
Ayahanda pemimpin idola anakanda;
Membela agama dan bangsa walau di mana,
Hatimu putih bersih bak mutiara.

Perjuangan ayahanda tepat dan jelas,
Rela berkorban demi rakyat tercinta;
Segala jasa dicurah tanpa harap dibalas,
Demi kerana Allah tercinta.

Bangganya anakanda ayahanda seorang pejuang,
Rela pertaruhkan nyawa di setiap penjuru;
Moga sentiasa berjaya ketika berjuang,
Darah perjuanganmu mengalir dalam darah anakandamu.

Doakan anakanda menjadi pejuang sejati,
Mewarisi kepahlawanan ayahanda tercinta;
Kita berjuang  hingga ke mati,
Demi mempertahankan kedaulatan Negara tercinta.


Syukur anakanda  setiap hari,
Keluarga kita dilimpahi sakinah dariNya;
Kasih sayang ayahanda bonda  anakanda hargai,
Moga keluarga sakinah kita hingga ke SyurgaNya.

Anakanda tersayang ayahanda tercinta,
Kasih berpadu bersama bonda dicintai;
Hidup berkeluarga sakinah tercipta,
Insya-Allah sekeluarga menghuni SyurgaNya nanti.

Karya:  Ummu Sal
20 Jun 2011

MOGA BEKALAN BERKEKALAN HINGGA KE MATI

Seratus ribu kali sehari jantung berdegup,
Berapa kali pula hati berzikir;
Daripada bercakap kosong baiklah senyap,
Itu tandanya orang berfikir.

Hendak tidur tidurlah mata,
Moga esokkan dirahmati;
Ilmu dicurah bagaikan permata,
Moga di Sana terus diberkati.

Duhai saudara janganlah bimbang,
Kudoakan hidup matimu diredhai;
Dakwah dan tintamu menjadi lambang,
Itu tandanya ilmumu dirahmati.

Seratus ribu kali sehari jantung berdegup,
Setiap nafas adakah zikir untuk-Nya;
Itulah bekalan di masa hidup,
Dihitung di akhirat sebagai penyelamatnya.

Bersatu hati atas tali Allah,
Menyebarkan dakwah kerana cinta  pada-Nya;
Melalui pena kita berdakwah,
Moga di akhirat menjadi bekalannya.

Syukur  sungguh  mendapat sahabat,
Sahabat akhirat menyatukan hati;
Matlamatnya sama untuk bekalan akhirat,
Bila berpena harus berhati-hati.

Hidup ini cuma sementara,
Bila tiada hilanglah semuanya;
Hanya tinggal semangat membara,
Tanda kasih pada yang hidup untuk selamanya.

Kasihku pada pembaca melebihi diriku,
Kalian adalah penyambung dunia akhiratku;
Apa kesalahan  maafkan daku,
Sepotong doamu penyeri akhiratku.

Bicara tentang  Allah tiada penghujungnya,
Seperti berada di Taman-Taman Syurga;
Tenangnya jiwa selamanya,
Tutur katamu bak penghuni Syurga.

Cinta pada Allah seutuhnya,
Wangian cinta mendapat redha-Nya;
Berkasih sayang hanya kerana-Nya
Seperti berada di Taman Syurga-Nya.

Wajah berseri mendapat hidayah,
Rasakan dunia tak ke mana;
Hati terpaut hanya kepada Allah,
Moga diredhai bila ke Sana.

Kutinggalkan ilmu bukan untuk dibanggai,
Hanya semata kerana  Allah dicintai;
Biar pembaca  mendoakan kunanti,
 Sebar luaskanlah  penaku ini.

Sama-sama mencari cinta Allah,
Di alam maya  kita disatukan;
Saling bertarbiyah kerana-Mu  Ya Allah,
Balaslah cinta kami itulah yang diaminkan.

Berbaik sangka sesama sendiri,
Sahabat akhirat sahabat sejati;
Amalan riak memakan diri,
Saling ingat mengingati menuju mati.

Orang  bijak  ingat mati,
Semasa hidup muhasabah diri;
Di dalam kubur tidak sendiri,
Amal ibadat peneman diri.

Teman baik saling muhasabah diri,
Saling mengingati di hari mati;
Hatimu luhur hidup menerangi,
Moga amalan berkekalan hingga ke mati.


Karya:   Ummu Sal
(14.3.2011)

GUGUR MUJAHID SENYUMAN SYURGA

Jangan dituduh pengganas mujahidku,
Kerananya Agama Islam sentosa;
Perjuanganya tak pernah jemu,
Di mana berada dipertaruhkan nyawa.

Dalam Islam tiada istilah pengganas,
Begitu mudah manusia menuduhnya;
Allah tidak suka mereka yang mengganas,
Dikirimkan ngauman bumi sebagai protesNya.

Di langit kerajaan Islam penuh duka,
Meratap menghiba tiada siapa yang tahu;
Allah janjikan syahid penawar duka,
Kenikmatan Syurga mereka  tak tahu.

Umat Islam diperlakukan seperti haiwan,
Dibedil  bertalu tanpa keperimanusiaan;
Mujahid Islam bangkit melawan,
Demi kerana Allah dalam kecintaan.

Negara Islam dibedil terus-terusan,
Dendam kesumat tak pernah padam;
Ada yang ditawan menjadi tebusan,
Diseksa  dalam neraka dunia penuh kejam.

Kesumat mereka tak pernah padam,
Negara Islam akan dibedil dan ditakluki;
Itu azam mereka yang  tak pernah bosan;
Agar  Islam terkubur di Negara sendiri.

Pejuang Islam tak pernah gentar,
Rela bermandikan darah dihujani peluru;
Perjuanganmu buat hati bergetar,
Wajahmu tenang   berjumpa Tuhanmu.

Sungguh murni seorang  mujahid,
Perjuangannya takkan terhenti tanpa jemu;
Mujahid balasanya syahid,
Kukalungkan doa kesejahteraan buatmu.

Di wajahmu ada Syurga,
Perjuanganmu tanpa jemu;
Kepentingan Islam sentiasa dijaga,
Putus  asa  tak pernah bertamu.

Kau berjuang hingga akhir hayat,
Semangatmu sentiasa membara;
Perjuanganmu tak pernah tamat,
Generasi pelapismu terus mara.

Masa hidup penuh perjuangan,
Perjuangannya jelas dan tepat;
Membela Islam ditimpa kekejaman,
Memberontak mujahid  adalah bertempat.

Tiada hari tanpa perjuangan,
Biarpun diburu di setiap penjuru;
Namun berundur tidak sekalipun,
Rela bemandikan darah dihujani peluru.

Gugurmu mujahid aku tangisi,
Kutangis dalam kesyukuran mengingatimu;
Kenikmatan Syurga kini kau rasai,
Di sini mujahid menggantikan tempatmu.

Ramai berlumba mengikut jejakmu,
Tanda cintakan Allah sayangkan hambaNya;
Mereka bemandikan darah dihujani peluru,
Gugurnya mereka menyusuli dirimu.


Kehidupan mengasyikkan memukau pandangan,
Wangian  Syurga menusuk qalbu;
Syurga kau terima sebagai balasan,
Menikmati  SyurgaNya  tak  pernah  jemu.


Gugur mujahid senyuman Syurga,
Kehidupan di Syurga  mujahid gembira;
Nikmat Allah dalam kesyukurannya,
Menunggu Hari Pembalasan  telah dibalasNya.

Karya: Ummu Sal
4 Mei 2011

PEPOHON IMAN IDAMAN

Ingin  kusemai benih-benih cinta iman
agar pabila bertunas nanti
segar di sinari cahaya iman
akarnya menjadi pasakan
iman yang kukuh
bercambah akar
 merata tempat
dalam senyap.

Merimbunlah dikau
tunas-tunas cinta keimanan
menjadi pepohon rendang
dewasa dalam keindahan iman
rimbunan dedaun menghijau
saujana mata memandang.

Dedaunanmu merimbun
ditiup angin sepoi-sepoi bahasa
melentok-lentok sambil mengalunkan
Zikir Munajat memuji  Tuhannya.

Lambaian zikirmu padaNya
membuatkan aku terkesima
dalam rindu mendalam padaNya
aku mencemburuimu kerana
hidupmu  tiada lain kecuali
berbakti pada Tuhanmu
dan menabur jasa
pada penghuni bumi.

Bertambah mengindahkan lagi
pepohon iman itu
berbunga gugusan kuntum bunga
memukau panorama…
Wangian bunga pepohon iman
dapat dihidu di seluruh benua
tiada apa yang dapat diucapkan
melainkan SUBHANALLAH!


Setelah habis musim bunga
tiba masanya pepohon iman berbuah
gugusan buah yang lebat
memenuhi  pepohon iman
terkesima  mata memandang.

Gugusan buah pepohon iman
kini sudah ranum
sedia untuk dijamah
penghuni bumi,
“Makanlah buah pepohon imanku ini…
Moga  hidayah kasih meresap
dalam roh dan jasadmu, itu doaku,”
kata pepohon iman kepada penghuni bumi.

Setelah penghuni bumi makan,
sisa buah pepohon iman
dilemparkan ke sungai deras
mengikut derasan air terjun
lalu terdampar ke hutan belantara
di situlah bermulanya
penghidupan baru
kepada pepohon iman
meneruskan  kelangsungan
hidup baru
pasrah dan redha dengan
asal kejadiannya!


Karya:  Ummu Sal
26 Mei 2011

PEMERGIANMU KUTANGISI DALAM REDHA

Kata ibu aku anak yang nakal,
Pening kepala ibu melayani kerenahku;
Bukan niatku menjadi nakal,
Sudah lumrah kanak-kanak begitu.

Kesusahan keluarga tidak kupeduli,
Kerana ibu dan ayah terpisah sudah;
Aku  bersedih kenapa nasibku begini,
Kebahagiaan keluarga semuanya musnah.

Biarpun ibu dan ayah tidak sehaluan,
Namun kumasih harap mereka bersatu;
Kuberjauahan  setiasa rindu-rinduan,
Demi kasih dan saying rasa tak jemu.

Rasa bahagia tinggal di sini,
Rumah Anak Yatim  Madrasah Al-Taqwa;
Hidup kami saling sayang menyayangi,
Azam kami menjadi hamba bertaqwa.

Abang Zaid baik budi,
Kami dilayan seperti keluarga sendiri;
Hari-hari bebunga kasih suci,
Hingga ke mati tidak akan kulupai.

Kami bergurau senda setiap hari,
Bersenda gurau tidak terguris hati;
Bersahabat  saling hormat menghormati,
Demi kerana Allah dicintai.

Setiap hari membaca Kalam Allah,
Memejam mata menghafal Al-Quran;
Ayat dibaca hafallah sudah,
Gembiranya hati dalam kesyukuran.

Baca Al-Quran berjubah dan berserban putih,
Berwangi-wangian setiap hari;
Hafalan Al-Quran  menjadi mudah,
Gembiranya hati tidak terperi.

Setiap waktu solat berjemaah,
Setiap seorang diberi  peluang menjadi imam;
Gembiranya kami apabila sampai waktu,
Syahdu sungguh mendengar suara imam.

Waktu Maghrib aku mengalunkan azan,
Penghuni bumi dan langit syahdu mendengar;
Gembiranya aku mengalunkan azan,
Doa penghuni bumi dan langit aku bersyukur.

Ustaz mengajar  kemi penuh kasih sayang,
Kami dianggap seperti anak sendiri;
Dunia akhirat kami ingin cemerlang,
Berlajar berlumba-lumba setiap hari. 

Kusayang abang dan adik-adik,
Di rumah Anak Yatim dan Kebajikan Madrasah Al-Taqwa;
Hidup kami seperti adik beradik,
Moga kami menjadi  insan  bertaqwa.

Suatu hari Amizan menelefon bapa,
Minta belikan beg sandang;
Setiap hari menunggu bapa,
Redha Amizan bapa tak datang.

Bilik kami dihias indah,
Dipenuhi dengan kad ucapan Hari Ibu;
Kata-kata maaf dan sayang penuh bermadah,
Hingga ke Syurga kami sayangkan ibu.

Kusayang adikku Iman sepenuh hati,
Iman mahukan  jam dan minyak wangi;
Kuhadiahkan  Iman sukanya hati,
Dipakai Iman setiap hari.

Sukanya hati kami dapat perhatian,
Daripada Finas untuk raikan kami;
Kami gembira dalam kesyukuran,
Kerana ada yang sudi mengingati kami.

Berqiamulail  kami di malam itu,
Syahdu sungguh abang Zaid membaca  Al-Quran;
Menangis kami  semua tersedu-sedu,
Menghayati Kalam Allah dalam keinsafan.

Selepas solat kami berzikir,
Sambil berzikir menangis hiba;
Hal dunia kami tak fikir,
Melainkan Allah yang dipuja.

Habis  berzikir kami bermaaf-maafkan,
Sambil bermaafan berpelukan dalam tangisan;
Serasa kami tidak mahu dipisahkan,
Kalau sudah takdir kami redhakan.

Hari itu kami bersiap menyambut tetamu,
Tetamu yang dihormati lagi disayangi;
Sikap penyayang mereka sudahlah tentu,
Bertuahnya kami hidup disayangi.

Kemeriahan menyambut tetamu bertukar duka,
Kami berpelukan sesama sendiri;
Berzikir  kami  penuh hiba,
Rela kami sehidup semati.

Sahabatku  separuh badan ditelan bumi,
Menyuruhku selamatkan diri;
Aku menangis melihat sahabatku mati,
Moga dirimu Syurga menanti.

Sahabatku ditelan bumi bersama adikku,
Kusempat mencapai tangan adikku iman,
Tapi apa nak buat cepatnya berlaku,
Pergi adikku  Iman kulaungkan azan.

Duhai sahabat-sahabat dan adikku sayang,
Kalian dikebumikan dalam liang yang sama;
Kenangan bersama terbayang-bayang,
Tunggulah kedatangan ku ingin bersama.

Pemergian kalian kutangisi dalam redha,
Kenangan  bersama kuabadikan hingga kemati;
Gembiralah kalian menikmati Syurga,
Sesungguhnya Allah memberimu darjat yang tinggi.

Karya:  Ummu Sal
24 Mei 2011
 

MOGA ALLAH MEMBALAS KEBAIKANMU

Duhai warga hospital kusayang…
Aku sanjung setiap budimu.
Kau bekerja  tanpa
mengenal penat dan lelah.

Kau tetap tabah melayani kerenah pesakit
kau layani mereka dengan penuh
tanggungjawab,
prihatin dan
kasih sayang.

Ikhlas kerjamu!
Suci kerjamu!
Sopan santun tutur katamu!
Terubat hati terima senyuman  iklasmu.
Sakitku kau ambil peduli.
Lukaku kau ubati sambil berkata,
“Biarkan kujahit lukamu dengan benang cintaku.”
Terkedu aku mendengar katamu itu.
Kudoakan moga segala kebaikanmu
dibalas oleh Tuhanku.
Amin Ya Rabbal A’Lamin.


Karya: Ummu Sal
       30 Mac  2011  

ANAI-ANAI PUN BERJASA

Setiap helai daun yang gugur
di muka bumi ini …
Semuanya dalam hitungan
Allah Taala.

Allah jadikan anai-anai untuk
mereputkan daun-daun
dan  dikitar semula semata
 mengindahkan bumi  agar
 penghuni bumi dapat diami
tanpa timbunan daun-daun.

Masya-Allah!  Anai-anai  yang
sekecil pun berjasa kepada bumi
kenapa tidak kita?
Moga kita terpilih untuk mengindah
dan mengamankan bumi ini...

Barulah suara alam tidak
meraung  lagi  seperti mana
berlakunya tsunami tanda
protesnya alam pada penghuni
 bumi  yang durjana!

Karya :  Ummu Sal
 (14.3.2011)

KEBESARANMU TUHAN KUASAMU MENGATASI SEGALANYA

Sang  Matahari setiap hari
ego dengan kekuasaan yang dimiliki.
Menyinari bumi
tanpa sinarnya,
bumi ini akan bergelap!
tanpa sinarnya kehidupan
penghuni bumi tergendala,
ini membuatkan Sang Matahari ego!

Sinarnya amat dinantikan penghuni bumi…
Kerana terlalu sombong dengan keterikkan sinarnya itu,
kehadiran Sang Pelangi diperkecilkan,
” Sang Pelangi kau tak perlu muncul kerana
kehadiranmu tidak  diperlukan penghuni bumi…
 cahayaku sudah cukup menerangi penghuni bumi,”
 kata Sang Matahari dengan egonya.
“Walaupun aku tidak diperlukan tapi kehadiranku dapat
memukau mata si penghuni bumi kerana  warna
warni pelangiku yang cantik,” kata Sang Pelangi
membela dirinya.

“He… setakat cantik ,  selepas itu hilang… tiada
gunanya Sang Pelangi… hahaha … kau tengok aku
sentiasa bersinar tanpa henti, penghuni bumi
sentiasa perlukan aku!” kata Sang Matahari
penuh ego.
“Aku hadir atas kehendak Tuhanku,
Aku hilang pun atas kehendak Tuhanku,
dan aku redha asal kejadianku Sang Matahari,”
kata  Sang Pelangi penuh kesyukuran.
Bersyukur kepada Tuhan yang menciptanya.

Pada hari Jumaat  bertarikh 27 Mei 2011
pada pukul  1.15 tengahari keadaan telah
menundukkan Sang Matahari yang ego selama ini,
apabila Penciptanya menunjukkan kuasaNya
kepada Sang Matahari  yang selama ini ego
dengan kekuasaannya, apabila Sang  Pelangi
mengelilingi Sang Matahari dan Dikirimkan
juga bulatan cahaya yang lebih bersinar daripada
Sang Matahari!
Sang Matahari hilang egonya…  dia bertaubat
kepada Allah kerana selama ini dia sombong
kepada Sang Pelangi dan Penghuni Bumi.
Sehebat mana pun Sang Matahari tidak boleh
menandingi  kehebatan Yang Mencipta
kewujudannya !

Karya:Ummu Sal
15 Jun  2011

YA ALLAH REDHAILAH USAHAKU INI

PENGHARAPANKU PADAMU YA ALLAH

Aku bukanlah  orang pandai tapi
minat kerja macam orang bijak pandai.
Pening memang pening,
 sakit kepalaku
kerana siapalah aku nak dibandingkan
mereka yang bijak pandai.
 Dengan pertolongan Allah yang Maha Bijak,
Dia mengilhamkanku,
Syukurku padaNya.
 Insya-Allah selagi  dikurniakan
kudrat pemikiran   ku usahakan selagi larat
biarpun tidak dipandang manusia aku redha
 tapi pandangan ihsanMu amat aku harapkan
sepenuh jiwaku kerana aku teramat takut sekiranya
di alam akhirat nanti biarpun aku menangis air mata
darah sepenuh alam sekalipun Kau tak akan pandang!
Aku tak mahu begitu Ya Allah!
Dengan air mata penuh pengharapan ini Kau pandang
dan terimalah segala usahaku ini.  Amin.

Karya: Ummu Sal
(29.4.2011)

Friday 5 August 2011

ULAT ROH

Semua orang pasti mati
tak tahu bila masanya
akan mati
mahu tak mahu pasti tempuhi juga
muda atau tua
pasti mati
aku tak terkecuali
pasti mati
adakah aku takut?
Ya ...aku takut
kalau matinya aku
tanpa bekalan
kalau aku yakin ada bekalan
tapi aku tetap takut
takut bekalan yang kubawa
tidak diterimaNya
lalu aku dicampakkan ke Neraka
itulah yang kutakuti
bukan aku takut mati
aku takut...aku takut bekalanku tak diterimaNya nanti.

Apabila mati...
Jasadku tentu membusuk
dimakan jutaan ulat
jika itu hukum alam
aku redha
tapi jika amalanku
dimakan ulat-ulat rohku
macam mana?
Allahu Akbar
merana rohku
merana yang tak tertebus!
Nak menangis pun tak berguna
jasad dah hancur dimakan ulat
tangisan roh percuma saja.

Ya Allah ... aku rela jasadku dimakan ulat
tapi aku tak mahu amalanku dimakan ulat-ulat roh
tolonglah Ya Allah kasihanlah aku
izinkan aku melakukan amalan ikhlas semata keranaMu
agar ianya menjadi
bekalan yang Kau terima
dan jauhkan bekalanku dimakan ulat-ulat roh.
Amin Ya Rabbal A'Lamin.


Karya:  Ummu Sal
22 Jun 2011


  

PASTI

Perjalanan ini...
pasti menemukan satu tujuan pasti
kematian adalah pasti

kehidupan terlalu bermakna
tutur kata bermakna
amalan bermakna
barulah semuanya terlaksana
untuk ke negeri Sana
yang pastinya kekal abadi
Negeri Akhirat
kepunyaan Maha Pencipta Semesta Alam
untuk hambaNya
dinilai untung nasib
samada Syurga atau Neraka!
Balasan setiap hambaNya
adalah pasti!


Karya: Ummu Sal
       16 Jun 2011

SYUKUR TAK TERUCAP ROHMU DI KALA INI

Pergimu mengadap Illahi
Perjuanganmu di dunia tamat kini
Perjuangan di akhirat kini dilalui
Moga bekalan akhirat mencukupi
Ilmu yang ditinggalkan
Bagaikan Bunga-Bunga Syurga
Mekar mewangi di laman hati
Tumbuh subur di perdu kalbu
Lebat buahnya merimbun
Mencecah bumi
Lalu dipetik
Dimakan
Disemai
Dibajai
Dengan cinta suci
Meng- Esa- kan Allah seabadi takwa
Itulah matlamat perjuanganmu tika di dunia dulu
Kini menjadi bekalan untuk dituai di alam akhiratmu
Syukur tak terucap rohmu di kala ini!

Karya: Ummu Sal
20 Julai 2011

Monday 28 February 2011

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kepada teman-teman seperjuangan dan yang membaca blog Moga Allah Redha. Sememangnya sedari kecil aku minat sangat dalam bidang penulisan. Penulisan telah menjadi darah dagingku. Impian hendak menjadi penulis sudah lama wujud, tapi siapalah aku.

Dua buah karya yang diterbit adalah usaha sahabat baikku yang hendak sangat karyaku diterbitkan dan berada di pasaran. Usahanya berhasil. Aku ucapkan terima kasih kepadanya yang sentiasa menyokong perjuanganku.

Aku masih ingat lagi ketika aku menghadiri kursus penulisan, akulah peserta yang banyak bertanya dan di akhir kursus aku akan megumpulkan karya teman-temanku kuserahkan kepada penganjur kursus. Aku amat bahagia jika karyaku bersama teman-teman dihargai penganjur, mana tahu kami akan mendapat peluang hasil daripada bakat anugerah IIlahi.

Sudah hampir 30 tahun aku menulis, karyaku yang tersiar di media massa tidaklah banyak mana amat sedikit sekali hinggakan karyaku tenggelam dalam arus peredaran zaman. Lucu sekali apabila aku ditegur oleh seorang pakar motivasi, baru aku terjaga dari lena peredaran zaman. Sesungguhnya aku tidak mahu ketinggalan zaman.

Di usiaku yang penghujung ini terlalu banyak cita-cita yang terpendam belum tercapai. Mana tahu berkat doa kawan-kawan seperjuagan ianya termakbul. Peringkat permulaan ini aku buat yang mana termampu dulu. Aku usaha dan terus berusaha.

Berkarya dan terus berkarya. Biarlah segala apa yang aku usahakan Allah Redha itulah hajatku pada Allah Taala. Aku berkarya bukanlah untuk mencipta nama tapi semata-mata ingin mendapat keredhaaan Allah Taala. Aku merancang Allah juga merancang. Perancangan Allah yang aku akur dalam hidup dan matiku. Siapalah aku untuk menolak takdir dan ketentuan Allah ke atas diriku. Ya Allah Perkenankan hajatku yang baik-baik
Amin Ya Rabbal A’ lamin.

Kupaparkan karya puisiku hasil ilham qalbuku untuk tatapan pembaca di alam maya. Moga kita semua mendapat keredhaan Allah dunia dan di akhirat.
Amin Ya Rabbal A’lamin.

Saturday 26 February 2011

Pilihlah Aku Menjadi Calon SyurgaMu

Aku tak layak masuk SyurgaMu
tapi  aku tak mahu masuk nerakaMu
Ya Allah...
aku  ingin sangat mengecapi  nikmat SyurgaMu
tapi aku ngeri dengan azab nerakaMu
pilihlah aku menjadi calon SyurgaMu
justeru berilah aku hidayah
agar  aku sentiasa beramal
yang Kau terima amalanku
yang membolehkan menjadi
calon SyurgaMu
jauhkan aku perkara
yang menyebabkan aku
masuk nerakaMu
belas kasihanlah padaku
Ya  Allah aku hamba yang hina
yang selalu alpa dan terlalai
dengan keasyikkan dunia
tolong ingatkan aku Ya Allah
agar  lidahku sentiasa berzikir
mengingati saat-saat  sakaratulmaut
izinkan rohku bertemu denganMu
dalam keadaan tenang dan
Kau redhai ketika
hidup matiku
pilihlah aku menjadi
calon SyurgaMu
Amin Ya Rabbal A’lamin

Karya:   Ummu  Sal  (25 .1.2011)

Kau Yang Kucinta

Kali pertama jatuh cinta denganMu
hati rasa terharu!
Terasa damai! Tenang! Aman

Hari-hari dilalui disinari dengan cahaya
cahaya  yang dipercayai
dalam sanubari dalam lubuk hati
MenyanyangiMu… MencintaiMu
adalah satu  anugerah dariMu
yang paling berharga dalam hidup ini
Syukur Alhamdulillah

Karya:  Ummu Sal (25.1.2011)

Yang Aku Cari

Yang aku cari sahabat akhirat
bukan kawan dunia.

Kenapa?
Apa bezanya
sahabat akhirat  dengan  kawan dunia?

Memang banyak bezanya
seperti langit dengan bumi.

Apa maksudnya?
Kawan dunia  membuat hati jadi leka
sahabat akhirat menjadi
penghubungku  ke akhirat.

Hidup semuanya
berdasarkan  akhirat
kerana mahu tidak mahu
hidup di dunia
akan menuju akhirat.

Sebab itu pentingnya
sahabat akhirat
menjadi pendampingku
agar hidup ini
terarah ke akhirat.

Ya Allah kami bersahabat
dan bertalisiraturrahim
semuanya keranaMu
agar kami saling ingat
mengingat tentang negeri
yang kekal abadi
negeri akhirat.

Selagi nafas ini
dipinjamNya
hari-hari fikirkan akhirat
hari ini apa yang terlalai.

Selalu salahkan diri sendiri
kenapa aku masih lalai?
Kenapa harus fikirkan dunia lagi?
Kenapa tak mahu berubah?
Sedangkan negeri akhirat
selangkah lagi akan kutempuhi
aku tidak mahu
penyesalan tanpa tertebus!

Amat malang kiranya
sampai ke negeri akhirat
tanpa amalan yang dikira
di sisi Allah Taala dan kalau
ada amalan tetapi ditolak
tanpa disedari
rugi juga
yang penting setiap
amalan ikhlas
kerana Allah Taala.

Ya  Allah terimalah amalanku,
ahli keluargaku, sahabat-sahabatku 
dan orang-orang  Islam samada hidup
dan  yang telah meninggal dunia.
Amin Ya Rabbal A’ lamin.

Karya:   Ummu  Sal  (26.2.2011)

Tuesday 22 February 2011

Jasad Seiring Roh

Bahagiakah jasad jika
tak seiring roh?
Yang pasti
jika sejuta kalipun jasad
mengatakan bahagia
jawapannya
pasti  tidak
bahagia
bilamana  jasad tidak
seiring roh.

Amat menakutkan
jika ini jawapanya?
Tapi kenapa  jasad selalu
memberontak dengan
kehendak roh?
Jahat sangat ke jasad?
Sepatutnya jasad ikut
saja kehendak roh
tapi kenapa mesti
ada pertentangan?


Duhai jasad boleh ke
kau akur dengan kehendak roh?
Kau wujud kerana sumpah
setia mu untuk menjadi
khalifah di muka bumi ini
sebab itu kau ditiupkan
roh ke jasadmu.

Justeru  sebelum terlambat
ingatlah sumpah setia mu itu
kepada Yang Maha Pencipta
asal usul kejadian roh dan jasad
kerana  masa terlalu suntuk
untukmu jasad.

Berjanjilah untuk memenuhi
segala kehendak rohmu
berazamlah  untuk menjadi
jasad seiring roh!


Karya:  Ummu Sal (30.1.2011)

Senyuman

Senyuman

Senyuman  kelat
ada kedukaan terselindung.

Senyuman  sinis
ada iri dalam hati.

Senyuman ceria
ada kegembiraan dirasai.

Senyuman manis
ada keikhlasan
ada pahala.

Bila tiada senyuman
hidup ibarat
malam tanpa bintang
kesunyian…
kesepian…
menjadi teman setia
yang tidak membahagiakan
hidup insan yang ingin bahagia.

Karya:  Ummu Sal (17.1.2011)
         

Cinta Oh! Cinta

Cinta…

Tak perlu kau hadir
jika sengaja membuatku
terluka dan berduka.

Cinta…
tak perlu kau hadir
sekadar cuma singgah
di hati lalu pergi
mencari cinta lain.

Cinta …
Hadirlah dikau
menyinari hatiku  yang
mendung ditutupi awan kelabu
membuatkan aku tersenyum
kupandang langit bulan pun
senyum padaku.

Cinta...
kau hanya perlu hadir
untuk aku
mengingatiNya
bersujud padaNya
mensyukuriNya
menyintaimu keranaNya
mencintaiNya mengatasi segala
di bumi di  langit.

Cinta  Oh! Cinta

Mencari  cinta Allah
adalah cinta yang diburu
mendapat cinta Allah
adalah cinta yang dinanti
kekasih awal dan akhir
adalah Tuhanku
Syurga bukti cintaNya!

Karya:   Ummu Sal (17.1.2011)

Cinta Kekasih Allah Nabi Muhammad S.A.W

Kau dilahirkan
untuk memberi
Rahmat Sekalian Alam.

Berpekerti mulia
menempuh  segala cabaran
dan dugaan semata-mata
untuk menyebar
Agama Suci Allah.

Berkorban apa saja
demi umat sezamannya
dan akhir zaman.

Sambil berdiri, duduk dan
berbaring  sentiasa
mengingati umatnya
mencintai umatnya
sepenuh hati
sepenuh jiwa
Masya-Allah!


Sentiasa berdoa pada Tuhan
agar umatnya mati dalam
ucapan kalimah
Lailahaillah.

Risaunya Nabi terhadap umatnya
hingga nafas terakhir
menyebut-nyebut umatnya
‘Umatku! Umatku! Umatku!

Duhai  Kekasih Allah
Nabi Muhammad  S.A.W
Biarpun telah tiada jasadmu
Budimu…
Pengorbananmu…
Cintamu kepada umatmu
akan dikenang…
dihargai dan
disanjung tinggi hingga
ke akhir  hayat kami.

Kami tahu kau mencintai kami
ketika berdiri… duduk dan berbaring
hingga ke akhir hayatmu.

Amatlah rugi dunia akhirat!
malang dunia akhirat!
Jika kami tidak membalas cintamu
Wahai Nabi Allah
Kekasih Allah.

Sebagai balasan cintamu
pada kami umatmu
kami  akan menjadi
pewaris setiamu
menyebarkan dakwahmu
Al-Quran dan Hadis
yang kau tinggalkan
untuk kami umatmu.

Selawat untukmu
wahai kekasih Allah
terimalah kami
menjadi kekasihmu
sebagaimana  kau
menjadi Kekasih Allah.

Moga dengan cinta kami ini
dapatlah kami keberkatan
cintamu di dunia …
Di Padang Mahsyar
mendapat Syafaatmu
Amin Ya Rabbal A’lamin.


Karya:  Ummu Sal  (18.2.2011)

Cinta Seorang Wanita Soleha

Jika kau menyintaiku
kau harus menyintai Allah lebih daripada segalaNya
itu syaratnya.

Aku tidak mahu cinta berlandaskan sesuatu
aku mahu cintaku dibalas kerana Allah.

Jangan kau durkai cintaku
kerana cintaku suci dan murni.

Jangan kau persendakan cintaku
kerana cintaku putih bersih
seputih salji di gunung Himalaya.

Jika kau membalas cintaku
kerana Allah
kaulah cintaku dunia akhirat.

Jika sudah tercatat di Lauhmahfuz
jodoh itu milik kita berdua
akulah wanita yang paling bertuah!

Dan izinkan aku menjadi isteri mu di dunia ini
dan menjadi salah seorang bidadari yang melayanimu
di Syurga nanti!

Hidup bahagia bersama dalam keredhaan Allah dan bila
hari kematianku nanti kau redhai itulah impianku!


Karya:  Ummu Sal  (21.1.2011)

Kembarku Insaflah!

Aku malu pada Tuhanku
kerana telah berjanji  setia
memikul tanggungjawab
sebagai seorang khalifah
dengan janji setia itulah
aku ditiupkan ke jasadmu
tika itu kau berusia
empat bulan kandungan si ibu.

Aku malu!
tersangat malu!
Pada Yang Maha Pencipta
kejadian asalku bilamana kembarku
derhaka pada Tuhanku.

Hinakah kau bila bersujud padaNya?
Sedangkan di alam roh aku bersujud padaNya
malangnya kau! Sedihnya aku!

Tahukah kau kembarku
tika kau
ditimpa kemalangan ngeri
kau kesakitan!
Tapi aku lebih sakit daripada itu!
Aku tidak bersedia lagi hendak
berjumpa Maha Pencipta kejadian asalku.

Aku bersyukur kerana
diberi kesempatan untuk
kembarku bertaubat!

Ketika di wad hospital
kulihat tergenang air matamu
menanggung kesakitan
mulutmu tidak henti-henti
menyebut nama Tuhanku.
kau tahu kembarku
aku menangis penuh syukur
damainya  aku tika itu!
Tenangnya aku!
Syukur aku pada Tuhan tidak terhingga
ada hikmah kau ditimpa kemalangan itu..

Tapi kebahagianku tidak lama
cuma saat itu saja kau bertaubat
bila kau sembuh
kau dah lupa lagi
kau lalai
kau gembira semahumu!

Aku
 kau penjarakan
dalam keperitan !
Dalam kekecewaan!

Hari-hari kau ceria
dalam dunia kelalaian
yang kau ciptakan sendiri
sedangkan aku
merintih setiap saat
aku malu kembarku untuk
bertemu Tuhan
jika ditakdirkan dalam
keadaan kau begini!

Justeru  yang aku harapkan darimu
agar kau
bertaubat
Insaf
mencari hidayah!
kerana penawar untukku yang sengsara ini
adalah sujudmu pada Tuhanku yang
menjadikan asal usulku dan dirimu.
ingatlah sumpah setia kita
kepadaNya!

Karya : Ummu Sal (26.1.2011)

Syukur Seorang Wanita

Subuh yang hening begini…
Seorang wanita sujud padaNya
dengan esakkan tangis pilu
penuh penghambaan
“Ya Allah sejak dulu hingga kini
aku memujiMu… Kau mengujiku
hinggakan aku pasrah dengan ujianMu.

Aku melakukan setiap kebajikan dengan harapan
Kau membalas cintaku
dari dulu hingga kini aku diuji olehMu
aku tidak kuat Ya Allah!
menghadapi ujian dariMu dari segenap penjuru…

Ya Allah berilah aku ketabahan
hadapi ujianMu ini.

Ya Allah berilah aku peluang untuk melakukan
segala kebajikan yang Kau sukai
sebelum aku bertemu denganMu
tolonglah Ya Allah! Tolong Perkenankan!

Biarpun sekelumit cinta yang Kau balas
akulah hambaMu yang paling bertuah dan bahagia.

Kini baru aku faham
mengapa Kau uji aku begini hebat!
Kalau diberi pilihan ujian atau nikmat ilmu yang diberi
aku redha dengan ujian yang Kau beri jika dibandingkan
dengan nikmat ilmu tanda kasih dariMu untukku.

Syukur aku Ya Allah!
Syukur aku kerana dipilih untuk diuji dan
diberikan nikmat ilmu tiada batas untuk aku
mengutip dan menyebarkannya sebelum aku
bertemu denganMu!

Karya:  Ummu Sal
4 Jan 2011

Seorang Hamba Dengan Ilmu Laduni

Dia…
kirim seorang hamba
padaku di kala aku
hampir rebah
menyembah bumi.

Hamba itu mempunyai
jati diri
berakar  tunjang
yang dipasakkan ke bumi
lalu…
lahirlah jutaan akar
keilmuan berfakta keimanan.

Kini  aku bangun dengan
sejuta keinsafan
sejuta harapan
untuk menggali ilmu
dengan hamba kiriman
Tuhanku Tuhannya.

Moga niat hamba itu
menyebarkan ilmu Laduni
yang dimiliki anugerah
dari Tuhannya
kepada mereka yang terpilih
diberi hidayah termakbul

Berbahagialah mereka
yang terpilih mendapat
hidayah dari
Tuhannya Tuhanku
Tuhan Sekalian Alam.

Karya:  Ummu Sal
             17 .2. 2011

Tolong Tarbiyahkan Aku

Teman…
Tolong tarbiyahkan aku
jika aku lupakanmu
kerana aku mahu
bertalisiraturrahim denganmu.

Teman…
Tolong tarbiyahkan aku jika
bicaraku menyinggung hatimu
kerana aku adalah teman sejatiku.

Teman…
Tolong tarbiyahkan aku
jika aku sombong padamu
kerana aku tidak mahu
menjadi bongkak sombong.

Teman..
tolong tarbiyahkan aku
jika aku tergolong
orang yang riak
kerana aku takut
Tuhan membakar amalanku
lalu campakkan aku
ke neraka jahannam
nauzubillah.

Teman…
tolong tarbiyahkan aku
jika aku terlalai daripada
Mengingati  Allah
Memuji Allah
MengagungkanNya
di sebilang masa dan ketika
kerana aku mahu mati
dalam kalimah Syurga
Lailahaillah
Tiada Tuhan Kecuali Allah.

Karya:  Ummu Sal (21.2..2011)

Redhakan Pemergiannya

Anakku…
Jangan ditangisi pemergiannya
jangan dikesali  apa yang terjadi.

Kau terlalu ghairah
dengan kedatangannya
kau kaji bila disenyawakan
kau kaji bila dia membesar.

Kau suka! Kau gembira!
Tanpa mengucapkan syukur
bila kau disahkan mengandung.

Telah kupesankan padamu anakku
banyakkan mengucapkan
 syukur... berdoa...
banyakkan membaca Al-Quran
berkelakuan baik
jangan memandang rendah pada
makhluk Tuhan
kerana dia
dalam persiapan
roh anakmu  nanti
biar sempurna hidupnya
sempurna imannya.

Tapi bila doktor sahkan
bayimu tidak berjantung
kau tak boleh terima
kau menafikan takdir Allah


Anakku…
Segala kejadian ini
adalah atas kehendak takdir
yang  Allah tentukan
Allah tahu kau tiada
kemampuan untuk memeliharanya
bila dia dihidupkan
apa guna bila dia hidup
kau persiakan!
Kau seksanya!
Dia terseksa!
Atas ketidaksempurnaan dirinya.

Atau dia tidak sanggup
memikul tanggungjawab sebagai seorang
khalifah di muka bumi ini
hanya Allah saja yang tahu
rahsia ini anakku.

Sabarlah anakku
kerana balasan sabar
Allah akan ganti yang lebih baik
dan sempurna agar kau dapat
mengucapkan syukur dalam
hidupmu
itu tandanya
Allah ingin memberi  nikmat
kehidupan yang sempurna.
Wallahualam.

Karya :  Ummu Sal (25.1.2011)

Sumpah Setiaku Di Alam Roh

Aku tafakur sejenak
untuk apa aku dilahirkan ke dunia ini?

Di alam kandungan sebelum roh
ditiup ke jasad
aku telah bersumpah setia untuk
patuh kepada Yang Maha Esa
dengan sumpah setia itulah aku
dihidupkan ke dunia ini
Masya-Allah malunya aku
jika aku tidak tepati sumpah setia itu
bumi mana hendak kudiami
selain daripada bumi ini!
Andai kata planet lain boleh
didiami tapi milik-Nya juga!

Mana  mungkin aku
menjadi penderhaka
kepada Maha Penciptaku.

Duhai Pencipta Sekalian Alam
aku perlukan hidayah-Mu
tunjukkan aku ke jalan yang lurus
agar aku dapat menepati
sumpah  setiaku  pada-Mu
jadikan aku khalifah di muka bumi ini
yang  sentiasa Di Bawah Lindungan Kasih
dan Rahmat-Mu.

Hidupkan aku dalam suasana
yang sentiasa ingat akan
sumpah setiaku pada-Mu
dan pilihlah aku sebagai khalifah
yang sentiasa berbakti pada-Mu dan
sekalian manusia di muka bumi ini
Amin. Ya  Rabbal  A'lamin .

Karya:  Ummu Sal  (18.1.2011)

Sebelum Pejam Mata

Hidup ini memang
Melekakan!
Melalaikan!
Aku terkedu
dalam kelekaanku.
aku terkesima
dalam kelalaianku.

Sebelum pejam mata
ingin aku berbuat baik
pada Tuhan
jua sekelian manusia
di muka bumi ini.

Sebelum pejam mata
ampunkan aku Tuhan
maafkan aku manusia
atas segala dosa padaMu
jua kesilapanku pada
sekelian manusia.


Izinkan aku bertemu dengan
Kekasihku dalam wajah yang
tenang dan berseri
jika itulah yang kudapat
hidup ini adalah satu kepuasan buat diriku
dan aku redha dengan segala ujian
yang tertimpa ke atasku
syukur Ya Tuhan aku dihidupkan
hanya untuk membalas cintaMu.



Karya :  Ummu Sal (29.1.2011)

Penyesalan Jasad

Sesalan hidup ini
alam buana yang indah hilang serinya
mentari tak bersinar lagi
hati merintih jiwa merana.

Dentuman guruh di langit
mentertawakan jasad
yang selama ini lupa kenapa dia
dtiupkan roh semasa dalam kandungan  ibu
bersumpah setia untuk menjadi khalifah yang setia
tapi bila diberi nyawa hidup di dunia
penuh dengan keasyikkan dunia yang melalaikan!
bangga dengan pangkat dan kekuasaan
bongkak dengan  kekayaan dalam kemewahan
lalai dengan dunia yang melekakan.

Terlalu banyak dosa yang ditimbunkan
tak tertebus dengan air mata yang
datangnya dari tujuh petala langit dan bumi
tapi jasad masih boleh berharap dengan
Rahmat dan Kasih Sayang Allah jika
benar ikhlas ingin mensucikan jasad
selagi roh belum sampai di kerongkong.

Jika jasad tidak sempat menyucikan roh
pasti  jasad meratapi pemergiaan roh yang suram
penyesalan yang dibawa hingga bertemu  PenciptaNya
merana jasad! Merana roh yang tahu ke mana tempatnya.

“Ya Allah hidupkan aku walaupun sesaat
agar aku dapat beribadat padaMu”

Rayuan  yang  tidak akan menjadi kenyataan!
Penyesalan roh yang tidak  akan menjadi jasad!

Masya-Allah bermimpi rupanya
Syukur Alhamdulillah jasad dan roh masih
ada lagi dipinjamkan di dunia ini.
penyesalan masih boleh ditebus
Allah masih memberi peluang dan ruang
untuk menyucikan jasad dan roh
Syukur  Ya Allah
melafazkan tasbih pada setiap nafas
Ya Allah berilah hidayah
pada jasad yang sentiasa lalai dan terleka ini
tak mahu jasad ini menyesal   tak tertebus lagi!
Hidup dan matiku hanya untukMu! 

Karya:  Ummu Sal  (22.1.2011)

Pertentangan Antara Roh Dan Jasad

Roh dan jasad
selalu saja
ada pertentangan
kehendak
roh cintakankan kebaikan
jasad sukakan kejahatan
roh diselubungi kesyahduan cinta
kepada Maha Peciptanya
jasad meneruti kehendak nafsu
bertuhankan syaitan.

Roh hendak ke Syurga
jasad  menempah tiket ke neraka!
Sampai bila jasad  akur  hasutan
syaitan?

Muhasabah dirilah  jasad
bertaubatlah selagi ada
peluang bernafas.


Ingatlah kau dilahirkan
untuk menjadi  hamba
Allah yang terbaik
mencari jalan-jalan yang diredhaiNya
pasti  tempahan tiket ke
Syurga diluluskan 
kerana namamu tercalon
sebagai ahli Syurga.

Hidup
memenuhi kehendak roh
Syurga tempatnya
fikir-fikirkan
duhai jasad
yang tahu asal usulmu.

Selepas ini jangan ada
pertentangan  dengan roh lagi
ikutlah kehendak rohmu
pasti bila nafas terhenti
roh akan
meninggalkan jasad
bertemu dengan Tuhannya      
dalam keadaan redha
lagi diredhai
jiwa yang tenang
pergilah ke tempat yang tenang!


Karya:  Ummu Sal (30.1.2011)
         

Penawar Roh

Roh itu muram
menangisi nasib diri
menyesali yang empunya diri
yang  masih terleka dan terlalai
tentang masa dan peluang
yang dilepaskan tanpa
menghitung usia berlalu pergi.

Izrail mengintai-ngintai roh yang suram
menunggu perintah dari  Maha Pencipta
roh dan  jasad.

Yang empunya diri masih tidak
mahu merebut peluang
untuk pulang ke pangkal jalan!

Yang empunya diri ingatlah
masa terlalu suntuk untukmu
pintu taubat terbuka untukmu
peluang sentiasa menantimu
rebutlah peluang  selagi
nafasmu ada!

Berazamlah merebut segala cahaya
yang menerobos masuk  ke tubuhmu
tanpa  ada halangan yang berpunca
dari kejahilan yang empunya diri.

Cahaya hidayah datanglah pada
yang empunya diri yang sudah
pulang ke pangkal jalan
dan inilah penawar roh
yang  suram!

Karya:  Ummus Sal (28.1.2011

Kemurungan Roh

Roh begitu
payah hendak
tingggalkan
jasad yang
telah didiami
separuh abad
lamanya.

Payah... begitu payah
sakit yang ditanggung
melebihi  sakit jasad

Memang mereka melihat
sakitnya jasad amat menakutkan
tapi derita sakitnya roh lagi
tak terperi sakitnya!

Dalam kesakitan jasad
diajar dengan kalimah
Lailahaillah
berulang-ulang kali
tapi kenapa jasad
tidak mahu mengikuti
kalimah yang boleh
membawanya
ke Syurga?

Duhai jasad
ikutlah kalimah
suci yang boleh
membawaku
ke Syurga
Aku ingin ke Sana!
Ke Sana bertemu
dengan Tuhanku
Tapi macam mana?
Mana  mungkin?
Selama aku
bersamamu
kau tidak mahu
Bersujud padaNya
Membaca KalamNya
Mematuhi perintahNya
Menjauhi laranganNya
sekarang semuanya
sudah terlambat…
Aku roh yang malang!

Biarpun aku
tak mahu keluar
dari jasad
yang derhaka ini
aku kena akur
dengan perintah
Tuhanku
selamat tinggal
Jasad yang
derhaka!
Celaka
nasibku!
nasibmu jua!

Aku tempah tiket ke Syurga
kau sengaja nak ke Neraka
sekarang kau dan aku
rasailah
azabnya seksa kubur!
azabnya seksa neraka!
 Akibat kedurjanaan kau
tapi bukan kehendakku
kerana asal kejadianku
aku  ingin patuh kepada Tuhanku!

Karya:  Ummu Sal (31.1.2011)
             

Pesanan Buat Anakku

Anakku…
Bila bicara lembutkan suaramu.

Bila marah
padamkan nafsu amarahmu.

Bila ketawa
senyum adalah lebih baik.

Bila sedih
janganlah terlalu emosi.

Undangkan hidayah dalam hidumu
pasti  akan tenang jiwamu.

Karya:  Ummu Sal  (28.1.2011)

Hinanya Roh

Roh belum bersedia
untuk tinggalkan jasad
tapi kerana perintah
Penciptanya Yang Maha Agong
roh akur.

Amat hina roh ketika itu
perjuangannya untuk
mempengaruhi jasad
derhaka kecundang
hingga akhir hayatnya.

Hina! Amat  hina!
Segala azab pasti menanti!

Dulu ketika di bumi
jasad berada di alam nyata
tapi kini roh pula
berada di alam nyata
di alam barzah
alam akhirat.


Batu nisan tanda
jasad dikebumikan

ribuan batu nisan
memenuhi tanah perkuburan
sejak berkurun lamanya.

Bagi jasad-jasad yang
masih bernyawa  melihat
seperti tiada apa yang
berlaku sedangkan
di dalam kubur
masing-masing
menjalani rutin
harian samada
menerima azab kubur
bagi roh yang derhaka
dan nikmat
pemandangan Syurga
bagi roh yang beriman
menunggu sehingga
hari kebangkitan
iaitu apabila
ditiupkan
Sangkakala atas
Perintah Yang Pencipta
roh dan jasad.

Karya:  Ummu Sal (1.2.2011)

Duhai Kekasih Hatiku!

Kekasihku…
Bila aku alpa
memujiMu
terasa  terhenti nafasku!

Bila aku menyebut  NamaMu
segala jiwaku hidup!
jantungku berdegup kencang!
terasa Kau hampir denganku.

Tika aku membaca KalamMu
terasa damainya hati
rinduku membuak-buak
untuk bertemu denganMu

Tika aku sujud padaMu
jasad dan rohku syahdu dalam
linangan air mata keinsafan atas
ketaksupan aku pada dunia
yang melalaikan
aku daripada…
MengingatiMu
MemujiMu
MengagungkanMu.

Terimalah aku menjadi
kekasih setiaMu
di dunia ini! Juga di akhirat!
Amin Ya Rabbal A’lamin


Karya:  Ummu  Sal

Duhai Roh Serulah Jasadku

Duhai roh
serulah jasadku
untuk sentiasa taat
akan perintah
Tuhanku
Tuhanmu jua.

Jasadku ini tak
mahu menjadi
derhaka
kepada
Tuhanku
Tuhanmu juga.

Aku ingin jasadku
nalurinya seiring
kehendakmu
yang sentiasa
mencintai dan
merinduiNya
di setiap
helaan nafasku
di setiap masa
dan seketika.

Serulah namaku
biar sentiasa
beringat
tentang
Hari Pembalasan
yang tiada siapa
dapat membantu
kecuali amal ibadat
ketika di dunia.

Serulah namaku
biar menjadi
sebati dalam
keselarian
cintaku cintamu
kepada
Tuhanku Tuhanmu
Yang Maha Agong
Lagi Maha Perkasa
segala Puji-Pujian
hanya untukNya.


Yang diharapkan
selagi hayat di kandung badan
jangan kau jemu untuk
membimbing dan menasihatiku
jika aku alpa dan terlalai.

Di penghujung nyawaku
ajarkan aku mengucapkan
Kalimah Syurga
Laillahaillah
Syukur Alhamdulillah
jika itu yang kuucapkan nanti
Syukur Alhamdulillah kerana
kau tidak jemu bersamaku
melakukan kebaikan hingga
ke akhir hayatku
wajahku tenang
melihat kau pergi
meninggalkan  aku
dengan aman dan
tenteram.
Amin Ya Rabbal A’lamin.

Karya:   Ummu  Sal (2.2.2011)

Apabila Roh Sesama Roh Berbicara

Apabila roh sesama roh berbicara
bagi roh yang dibicarakan itu faham
maka akan gembiralah roh yang menyeru itu
tapi...
bilamana roh yang diseru itu tidak faham
apa yang dibicarakan akan bermuram durjalah ia
menangis sendirian tanpa dipujuk

Kenapa roh yang dikasihi itu masih
tidak mahu berubah?
sedangkan hidup bersama
terlalu singkat?
Tidak mahukah kita untuk
membina hidup
kekal abadi di alam yang
kekal bahagia selamanya?
Semua penghuninya
saling faham memahami
sayang menyayangi
bahagia setiap saat
di bawah lindungan
Kasih Sayang Allah
yang tidak bertepi
segala nikmat diberikan
kepada penghuni Syurga.
masa itu kita sudah
terlupa sama sekali
tentang kenapa kita
diuji begitu hebat
ketika hidup di dunia
suatu masa dulu
malah kita akan
bersyukur kerana
dengan ujian itulah
berkat kesabaran kita
menghadapinya
inilah balasan yang
kita terima.

Justeru
duhai  roh-roh kesayanganku
marilah kita
berubah untuk menjadi
tabah menghadapi apa
saja ujian ini.

Biarkan air mata derita ini
disapukan dengan sapu tangan kesyukuran
kerana yakinlah di alam sana nanti
air mata derita  kita
disapukan dengan sapu tangan Syurga
yang wanginya  semesta alam.
Nikmat Syurga pula…
Masya-Allah!
Subhanallah!
Alhamdulllah!
Impian setiap roh dan jasad
yang beriman di muka bumi ini
Amin. Ya Rabbal A’lamin

Karya:  Ummu Sal (31.1.2011)

Apabila Roh Dan Jasad Berbicara

Apabila roh dan
jasad berbicara
tentu ada yang
menafikan kewujudannya
tentu  ada perbalahan
antara jasad dan roh
tentu ada keselarian
naluri jasad dan roh

Yang menjadi penentu
ketika  penghujung nyawa
apakah roh tinggalkan jasad
dalam keadan
muram atau gembira

Pilihlah mana satu
kehendak naluri
menempah tiket
Ke Syurga?
Atau
Ke Neraka?

Karya:   Ummu Sal (2.2.2011)

Apabila Bicara Tentang Roh

Apabila bicara tentang roh
ramai yang menafikan
tentang kewujudannya

Andai kata semua manusia
mengakui kewujudan roh
sudah pasti bumi ini
dihuni oleh penghuni bumi
yang cintakan kebaikan
yang mengagungkan
Kebesaran Tuhan
mencari jalan hidup
yang diredhaiNya

Amat malang kepada
orang tidak mahu
menerima hakikat
kewujudan roh
hidup berlandaskan
kehendak nafsu
yang tidak mengenal
apa itu balasan neraka.?
Apa itu balasan Syurga?
Cuma yang  dibukakan
khasaf saja  yang tahu
kewujudan roh
berbahagialah orang
itu kalau dimanfaatkan
seluruh hidupnya
berlandaskan kehendak
Maha Pencipta
roh dan jasad.

Karya:  Ummu Sal (31.1.2011)

Apabila Jasad Mendapat Nur Illahi

Roh salahkan
jasad kerana
tersasar dan tersesat
daripada jalan lurus
yang ada dalam
surah Al-Fatihah.

Sepanjang roh bersama
hayat jasad di muka
bumi ini jasad tidak
mahu menuruti  kehendak roh
yang mahu jasad seiring
dengan kehendaknya
tapi
ada saja pertentangan
antara jasad dengan roh.

Roh terpenjara dalam
dosa yang diciptakan
 jasad
lagi banyak dosa
yang dilakukan jasad
roh merintih dalam
duka yang berpanjangan.

Raja iblis mentertawakan roh
kerana usaha roh gagal dalam
mengawal jasad derhaka
‘Jasad itu cuma dalam
perhatian aku saja
dia akan sentiasa menuruti
kehendakku, dia dalam
genggaman aku!’
Egonya raja iblis itu.

Roh terbelenggu dalam
kekakuan dan ketakutan
yang amat sangat dengan
azab dari Allah yang akan
ditimpakan ke atasnya
nanti pasti!
Di dunia telah dirasai
betapa azabnya!
Inikan di akhirtat!

Sekarang rasakan
nyalaan api neraka ini?
Teriakan suara yang amat menggerunkan jasad.
Panas! Panas! Sakit! Sakit!
jerit jasad ketika hendak dihumbankan
ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

Syukur Alhamdulillah bermimpi
rupanya jasad.

Jasad telah mendapat
Nur  Illahi
Jasad tidak lagi menyeleweng
dengan kehendak roh
mereka seiring sekata
menjadi sahabat yang paling
akrab sebagai khalifah di muka
bumi ini.

Di pagi Jumaat
yang syahdu itu
jasad mengucapkan
kalimah suci
Laillahaillah.

Roh tenang ketika
meninggalkan jasad
yang berwajah
disinari
Nur Illahi.

Karya:  Ummu Sal (1.2.2011)