Saturday 6 August 2011

ALLAH ITU MAHA INDAH

Allah Itu Maha Indah.
Seindah  99 namaNya.
Semerdu KalamNya
tak jemu dibaca berulang-ulang kali.

Apabila menyebut namaNya
bergetar hati meruntun jiwa.
Apabila tidak menyebut namaNya
hati  pilu seperti ditusuk sembilu pilu.
Apabila membaca KalamNya
wangian cintaNya meresap dalam
roh dan jasad terus merinduiNya
menanti dan menunggu untuk
bertemu denganNya.
Moga terpilih menjadi kekasihNya.
Amin. Ya Rabbal A’Lamin.

Karya:  Ummu Sal
26 Mac 2011

ADAKAH DEGUPAN JANTUNG SEIRING ZIKIR PADANYA

 

Ya Allah …
Baru kini aku tahu
betapa besarnya kuasa-MU
menjadikan setiap jantung
manusia berdegup sebanyak
seratus ribu kali degupan sehari.
Masya-Allah naifnya aku
tentang kejadian ini.

Aku terkesima dalam
ketaksupan aku tentang
Kebesaran-Mu ini
aku meratapi diriku
tentang berapa kali pula
aku bertasbih pada setiap
helaan nafasku pada-Mu
jika hendak dibandingkan dengan
seratus ribu kali degupan jantungku ini.

Ya Allah aku malu dengan diriku sendiri
kerana adakah aku tergolong hambaMU
yang  mengucapkan syukur  setiap nikmat
kehidupan yang Kau limpahkan padaku?
 Tolonglah aku Ya Allah jadikanlah hamba-Mu
 terpilih untuk mengucapkan syukur
dengan berzikir pada-Mu di sebilang masa
dan seketika selagi nafasku Kau pinjamkan!
Biar degupan jantungku  ini bermanfaat
untuk  roh dan jasadku ini selagi hayat
di kandung badan.
Amin Ya Rabbal A’ lamin

Karya : Ummu Sal
13 Mac 2011

MOGA KITA SEKELUARGA MENJADI PENGHUNI SYUGANYA

Anakanda  yang disayangi dunia akhirat,
Anakanda pengikat kasih ayahanda  bonda;
Kelahiranmu membuatkan kasih bertaut erat,
Moga menjadi anak kebanggaan ayahanda  bonda.

Pembesaranmu setiap tahun ayahanda pastikan,
Anakanda mempelajari  Hadis dan Al-Quran;
Mindamu terisi dengan ilmu yang tidak menjemukan,
Berusaha terus berusaha menuju kejayaan.

Ayahanda akan terus memimpin anakanda,
Mendidikmu berpandukan Al-Quran dan Hadis;
Agar menjadi  khalifah Allah duhai anakanda,
Pasti ayahanda dan bonda bersyukur terus-nenerus.

Semakin banyak waktu ayahanda berkongsi,
Semakin anakanda bersedia menghadapi masa hadapan;
Anakandalah harapan ayahanda tanpa sangsi,
Ayahanda sentiasa letakkan sejuta harapan.

Sekalipun anakanda tidak mampu melangkah ke hadapan,
Ayahanda akan terus membimbingmu;
Agar anakanda berani menghadapi segala rintangan,
Yang datang mengujimu dari segenap penjuru.

Anakanda pergilah semampu sejauh mungkin,
Memburu impian menggapai cita-cita;
Ayahanda bonda sentiasa memberi  sokongan,
Agar menjadi realiti segala yang dicita.

Capai setinggi mana mungkin cita-citamu,
Ilmu yang dituntut jangan sekali rasa jemu;
Kegagalan tidak akan pernah bertamu,
Kejayaanmu kebanggaan ayahanda bondamu.

Dalam menuju segala kejayaan,
Cahaya keimanan amat diperlukan;
Allah jangan sekali dilupakan,
Barulah cahaya hidayah menjadi peneman.

Kasih sayang ayahanda tidak pernah luntur,
Ayahanda rela berkorban apa saja untukmu;
Asalkan anakanda cekal dan sabar,
Kerana sabarmu mengundang Rahmat dari Tuhanmu.


Apabila segala ilmu terpasak di dada,
Pasti anakanda sendiri melepaskan tangan ayahanda;
Dan tika itu ayahanda tersenyum bangga,
Melihat anakanda menyambung perjuangan ayahanda.

Anakanda… buah hatiku pengarang jantung,
Ingatlah pesanan kami ini;
Jadilah anak soleh berjiwa pejuang,
Moga   kita sekeluarga ke Syurga  nanti.

Ayahanda dan bonda tersayang,
Kasih sayangmu anakanda tak akan persiakan;
Anakanda berjanji akan menjadi anak cemerlang,
Menjadi anak soleh beriman yang dibanggakan.

Anakanak hargai pengorbanan ayahanda ,
Tanpa jemu mendidik membimbing anakanda;
Moga Allah membalas segala budi ayahanda bonda,
Alhamdulillah anakanda diKurniakan ayahanda bonda.

Ayahanda dan bonda yang disayangi,
Anakanda  akan berazam mencapai cita-cita;
Meneruskan perjuangan ayahanda yang suci murni,
Membela agama bangsa dan Negara tercinta.

Anakanda sentiasa bangga dengan ayahanda,
Ayahanda pemimpin idola anakanda;
Membela agama dan bangsa walau di mana,
Hatimu putih bersih bak mutiara.

Perjuangan ayahanda tepat dan jelas,
Rela berkorban demi rakyat tercinta;
Segala jasa dicurah tanpa harap dibalas,
Demi kerana Allah tercinta.

Bangganya anakanda ayahanda seorang pejuang,
Rela pertaruhkan nyawa di setiap penjuru;
Moga sentiasa berjaya ketika berjuang,
Darah perjuanganmu mengalir dalam darah anakandamu.

Doakan anakanda menjadi pejuang sejati,
Mewarisi kepahlawanan ayahanda tercinta;
Kita berjuang  hingga ke mati,
Demi mempertahankan kedaulatan Negara tercinta.


Syukur anakanda  setiap hari,
Keluarga kita dilimpahi sakinah dariNya;
Kasih sayang ayahanda bonda  anakanda hargai,
Moga keluarga sakinah kita hingga ke SyurgaNya.

Anakanda tersayang ayahanda tercinta,
Kasih berpadu bersama bonda dicintai;
Hidup berkeluarga sakinah tercipta,
Insya-Allah sekeluarga menghuni SyurgaNya nanti.

Karya:  Ummu Sal
20 Jun 2011

MOGA BEKALAN BERKEKALAN HINGGA KE MATI

Seratus ribu kali sehari jantung berdegup,
Berapa kali pula hati berzikir;
Daripada bercakap kosong baiklah senyap,
Itu tandanya orang berfikir.

Hendak tidur tidurlah mata,
Moga esokkan dirahmati;
Ilmu dicurah bagaikan permata,
Moga di Sana terus diberkati.

Duhai saudara janganlah bimbang,
Kudoakan hidup matimu diredhai;
Dakwah dan tintamu menjadi lambang,
Itu tandanya ilmumu dirahmati.

Seratus ribu kali sehari jantung berdegup,
Setiap nafas adakah zikir untuk-Nya;
Itulah bekalan di masa hidup,
Dihitung di akhirat sebagai penyelamatnya.

Bersatu hati atas tali Allah,
Menyebarkan dakwah kerana cinta  pada-Nya;
Melalui pena kita berdakwah,
Moga di akhirat menjadi bekalannya.

Syukur  sungguh  mendapat sahabat,
Sahabat akhirat menyatukan hati;
Matlamatnya sama untuk bekalan akhirat,
Bila berpena harus berhati-hati.

Hidup ini cuma sementara,
Bila tiada hilanglah semuanya;
Hanya tinggal semangat membara,
Tanda kasih pada yang hidup untuk selamanya.

Kasihku pada pembaca melebihi diriku,
Kalian adalah penyambung dunia akhiratku;
Apa kesalahan  maafkan daku,
Sepotong doamu penyeri akhiratku.

Bicara tentang  Allah tiada penghujungnya,
Seperti berada di Taman-Taman Syurga;
Tenangnya jiwa selamanya,
Tutur katamu bak penghuni Syurga.

Cinta pada Allah seutuhnya,
Wangian cinta mendapat redha-Nya;
Berkasih sayang hanya kerana-Nya
Seperti berada di Taman Syurga-Nya.

Wajah berseri mendapat hidayah,
Rasakan dunia tak ke mana;
Hati terpaut hanya kepada Allah,
Moga diredhai bila ke Sana.

Kutinggalkan ilmu bukan untuk dibanggai,
Hanya semata kerana  Allah dicintai;
Biar pembaca  mendoakan kunanti,
 Sebar luaskanlah  penaku ini.

Sama-sama mencari cinta Allah,
Di alam maya  kita disatukan;
Saling bertarbiyah kerana-Mu  Ya Allah,
Balaslah cinta kami itulah yang diaminkan.

Berbaik sangka sesama sendiri,
Sahabat akhirat sahabat sejati;
Amalan riak memakan diri,
Saling ingat mengingati menuju mati.

Orang  bijak  ingat mati,
Semasa hidup muhasabah diri;
Di dalam kubur tidak sendiri,
Amal ibadat peneman diri.

Teman baik saling muhasabah diri,
Saling mengingati di hari mati;
Hatimu luhur hidup menerangi,
Moga amalan berkekalan hingga ke mati.


Karya:   Ummu Sal
(14.3.2011)

GUGUR MUJAHID SENYUMAN SYURGA

Jangan dituduh pengganas mujahidku,
Kerananya Agama Islam sentosa;
Perjuanganya tak pernah jemu,
Di mana berada dipertaruhkan nyawa.

Dalam Islam tiada istilah pengganas,
Begitu mudah manusia menuduhnya;
Allah tidak suka mereka yang mengganas,
Dikirimkan ngauman bumi sebagai protesNya.

Di langit kerajaan Islam penuh duka,
Meratap menghiba tiada siapa yang tahu;
Allah janjikan syahid penawar duka,
Kenikmatan Syurga mereka  tak tahu.

Umat Islam diperlakukan seperti haiwan,
Dibedil  bertalu tanpa keperimanusiaan;
Mujahid Islam bangkit melawan,
Demi kerana Allah dalam kecintaan.

Negara Islam dibedil terus-terusan,
Dendam kesumat tak pernah padam;
Ada yang ditawan menjadi tebusan,
Diseksa  dalam neraka dunia penuh kejam.

Kesumat mereka tak pernah padam,
Negara Islam akan dibedil dan ditakluki;
Itu azam mereka yang  tak pernah bosan;
Agar  Islam terkubur di Negara sendiri.

Pejuang Islam tak pernah gentar,
Rela bermandikan darah dihujani peluru;
Perjuanganmu buat hati bergetar,
Wajahmu tenang   berjumpa Tuhanmu.

Sungguh murni seorang  mujahid,
Perjuangannya takkan terhenti tanpa jemu;
Mujahid balasanya syahid,
Kukalungkan doa kesejahteraan buatmu.

Di wajahmu ada Syurga,
Perjuanganmu tanpa jemu;
Kepentingan Islam sentiasa dijaga,
Putus  asa  tak pernah bertamu.

Kau berjuang hingga akhir hayat,
Semangatmu sentiasa membara;
Perjuanganmu tak pernah tamat,
Generasi pelapismu terus mara.

Masa hidup penuh perjuangan,
Perjuangannya jelas dan tepat;
Membela Islam ditimpa kekejaman,
Memberontak mujahid  adalah bertempat.

Tiada hari tanpa perjuangan,
Biarpun diburu di setiap penjuru;
Namun berundur tidak sekalipun,
Rela bemandikan darah dihujani peluru.

Gugurmu mujahid aku tangisi,
Kutangis dalam kesyukuran mengingatimu;
Kenikmatan Syurga kini kau rasai,
Di sini mujahid menggantikan tempatmu.

Ramai berlumba mengikut jejakmu,
Tanda cintakan Allah sayangkan hambaNya;
Mereka bemandikan darah dihujani peluru,
Gugurnya mereka menyusuli dirimu.


Kehidupan mengasyikkan memukau pandangan,
Wangian  Syurga menusuk qalbu;
Syurga kau terima sebagai balasan,
Menikmati  SyurgaNya  tak  pernah  jemu.


Gugur mujahid senyuman Syurga,
Kehidupan di Syurga  mujahid gembira;
Nikmat Allah dalam kesyukurannya,
Menunggu Hari Pembalasan  telah dibalasNya.

Karya: Ummu Sal
4 Mei 2011

PEPOHON IMAN IDAMAN

Ingin  kusemai benih-benih cinta iman
agar pabila bertunas nanti
segar di sinari cahaya iman
akarnya menjadi pasakan
iman yang kukuh
bercambah akar
 merata tempat
dalam senyap.

Merimbunlah dikau
tunas-tunas cinta keimanan
menjadi pepohon rendang
dewasa dalam keindahan iman
rimbunan dedaun menghijau
saujana mata memandang.

Dedaunanmu merimbun
ditiup angin sepoi-sepoi bahasa
melentok-lentok sambil mengalunkan
Zikir Munajat memuji  Tuhannya.

Lambaian zikirmu padaNya
membuatkan aku terkesima
dalam rindu mendalam padaNya
aku mencemburuimu kerana
hidupmu  tiada lain kecuali
berbakti pada Tuhanmu
dan menabur jasa
pada penghuni bumi.

Bertambah mengindahkan lagi
pepohon iman itu
berbunga gugusan kuntum bunga
memukau panorama…
Wangian bunga pepohon iman
dapat dihidu di seluruh benua
tiada apa yang dapat diucapkan
melainkan SUBHANALLAH!


Setelah habis musim bunga
tiba masanya pepohon iman berbuah
gugusan buah yang lebat
memenuhi  pepohon iman
terkesima  mata memandang.

Gugusan buah pepohon iman
kini sudah ranum
sedia untuk dijamah
penghuni bumi,
“Makanlah buah pepohon imanku ini…
Moga  hidayah kasih meresap
dalam roh dan jasadmu, itu doaku,”
kata pepohon iman kepada penghuni bumi.

Setelah penghuni bumi makan,
sisa buah pepohon iman
dilemparkan ke sungai deras
mengikut derasan air terjun
lalu terdampar ke hutan belantara
di situlah bermulanya
penghidupan baru
kepada pepohon iman
meneruskan  kelangsungan
hidup baru
pasrah dan redha dengan
asal kejadiannya!


Karya:  Ummu Sal
26 Mei 2011

PEMERGIANMU KUTANGISI DALAM REDHA

Kata ibu aku anak yang nakal,
Pening kepala ibu melayani kerenahku;
Bukan niatku menjadi nakal,
Sudah lumrah kanak-kanak begitu.

Kesusahan keluarga tidak kupeduli,
Kerana ibu dan ayah terpisah sudah;
Aku  bersedih kenapa nasibku begini,
Kebahagiaan keluarga semuanya musnah.

Biarpun ibu dan ayah tidak sehaluan,
Namun kumasih harap mereka bersatu;
Kuberjauahan  setiasa rindu-rinduan,
Demi kasih dan saying rasa tak jemu.

Rasa bahagia tinggal di sini,
Rumah Anak Yatim  Madrasah Al-Taqwa;
Hidup kami saling sayang menyayangi,
Azam kami menjadi hamba bertaqwa.

Abang Zaid baik budi,
Kami dilayan seperti keluarga sendiri;
Hari-hari bebunga kasih suci,
Hingga ke mati tidak akan kulupai.

Kami bergurau senda setiap hari,
Bersenda gurau tidak terguris hati;
Bersahabat  saling hormat menghormati,
Demi kerana Allah dicintai.

Setiap hari membaca Kalam Allah,
Memejam mata menghafal Al-Quran;
Ayat dibaca hafallah sudah,
Gembiranya hati dalam kesyukuran.

Baca Al-Quran berjubah dan berserban putih,
Berwangi-wangian setiap hari;
Hafalan Al-Quran  menjadi mudah,
Gembiranya hati tidak terperi.

Setiap waktu solat berjemaah,
Setiap seorang diberi  peluang menjadi imam;
Gembiranya kami apabila sampai waktu,
Syahdu sungguh mendengar suara imam.

Waktu Maghrib aku mengalunkan azan,
Penghuni bumi dan langit syahdu mendengar;
Gembiranya aku mengalunkan azan,
Doa penghuni bumi dan langit aku bersyukur.

Ustaz mengajar  kemi penuh kasih sayang,
Kami dianggap seperti anak sendiri;
Dunia akhirat kami ingin cemerlang,
Berlajar berlumba-lumba setiap hari. 

Kusayang abang dan adik-adik,
Di rumah Anak Yatim dan Kebajikan Madrasah Al-Taqwa;
Hidup kami seperti adik beradik,
Moga kami menjadi  insan  bertaqwa.

Suatu hari Amizan menelefon bapa,
Minta belikan beg sandang;
Setiap hari menunggu bapa,
Redha Amizan bapa tak datang.

Bilik kami dihias indah,
Dipenuhi dengan kad ucapan Hari Ibu;
Kata-kata maaf dan sayang penuh bermadah,
Hingga ke Syurga kami sayangkan ibu.

Kusayang adikku Iman sepenuh hati,
Iman mahukan  jam dan minyak wangi;
Kuhadiahkan  Iman sukanya hati,
Dipakai Iman setiap hari.

Sukanya hati kami dapat perhatian,
Daripada Finas untuk raikan kami;
Kami gembira dalam kesyukuran,
Kerana ada yang sudi mengingati kami.

Berqiamulail  kami di malam itu,
Syahdu sungguh abang Zaid membaca  Al-Quran;
Menangis kami  semua tersedu-sedu,
Menghayati Kalam Allah dalam keinsafan.

Selepas solat kami berzikir,
Sambil berzikir menangis hiba;
Hal dunia kami tak fikir,
Melainkan Allah yang dipuja.

Habis  berzikir kami bermaaf-maafkan,
Sambil bermaafan berpelukan dalam tangisan;
Serasa kami tidak mahu dipisahkan,
Kalau sudah takdir kami redhakan.

Hari itu kami bersiap menyambut tetamu,
Tetamu yang dihormati lagi disayangi;
Sikap penyayang mereka sudahlah tentu,
Bertuahnya kami hidup disayangi.

Kemeriahan menyambut tetamu bertukar duka,
Kami berpelukan sesama sendiri;
Berzikir  kami  penuh hiba,
Rela kami sehidup semati.

Sahabatku  separuh badan ditelan bumi,
Menyuruhku selamatkan diri;
Aku menangis melihat sahabatku mati,
Moga dirimu Syurga menanti.

Sahabatku ditelan bumi bersama adikku,
Kusempat mencapai tangan adikku iman,
Tapi apa nak buat cepatnya berlaku,
Pergi adikku  Iman kulaungkan azan.

Duhai sahabat-sahabat dan adikku sayang,
Kalian dikebumikan dalam liang yang sama;
Kenangan bersama terbayang-bayang,
Tunggulah kedatangan ku ingin bersama.

Pemergian kalian kutangisi dalam redha,
Kenangan  bersama kuabadikan hingga kemati;
Gembiralah kalian menikmati Syurga,
Sesungguhnya Allah memberimu darjat yang tinggi.

Karya:  Ummu Sal
24 Mei 2011
 

MOGA ALLAH MEMBALAS KEBAIKANMU

Duhai warga hospital kusayang…
Aku sanjung setiap budimu.
Kau bekerja  tanpa
mengenal penat dan lelah.

Kau tetap tabah melayani kerenah pesakit
kau layani mereka dengan penuh
tanggungjawab,
prihatin dan
kasih sayang.

Ikhlas kerjamu!
Suci kerjamu!
Sopan santun tutur katamu!
Terubat hati terima senyuman  iklasmu.
Sakitku kau ambil peduli.
Lukaku kau ubati sambil berkata,
“Biarkan kujahit lukamu dengan benang cintaku.”
Terkedu aku mendengar katamu itu.
Kudoakan moga segala kebaikanmu
dibalas oleh Tuhanku.
Amin Ya Rabbal A’Lamin.


Karya: Ummu Sal
       30 Mac  2011  

ANAI-ANAI PUN BERJASA

Setiap helai daun yang gugur
di muka bumi ini …
Semuanya dalam hitungan
Allah Taala.

Allah jadikan anai-anai untuk
mereputkan daun-daun
dan  dikitar semula semata
 mengindahkan bumi  agar
 penghuni bumi dapat diami
tanpa timbunan daun-daun.

Masya-Allah!  Anai-anai  yang
sekecil pun berjasa kepada bumi
kenapa tidak kita?
Moga kita terpilih untuk mengindah
dan mengamankan bumi ini...

Barulah suara alam tidak
meraung  lagi  seperti mana
berlakunya tsunami tanda
protesnya alam pada penghuni
 bumi  yang durjana!

Karya :  Ummu Sal
 (14.3.2011)

KEBESARANMU TUHAN KUASAMU MENGATASI SEGALANYA

Sang  Matahari setiap hari
ego dengan kekuasaan yang dimiliki.
Menyinari bumi
tanpa sinarnya,
bumi ini akan bergelap!
tanpa sinarnya kehidupan
penghuni bumi tergendala,
ini membuatkan Sang Matahari ego!

Sinarnya amat dinantikan penghuni bumi…
Kerana terlalu sombong dengan keterikkan sinarnya itu,
kehadiran Sang Pelangi diperkecilkan,
” Sang Pelangi kau tak perlu muncul kerana
kehadiranmu tidak  diperlukan penghuni bumi…
 cahayaku sudah cukup menerangi penghuni bumi,”
 kata Sang Matahari dengan egonya.
“Walaupun aku tidak diperlukan tapi kehadiranku dapat
memukau mata si penghuni bumi kerana  warna
warni pelangiku yang cantik,” kata Sang Pelangi
membela dirinya.

“He… setakat cantik ,  selepas itu hilang… tiada
gunanya Sang Pelangi… hahaha … kau tengok aku
sentiasa bersinar tanpa henti, penghuni bumi
sentiasa perlukan aku!” kata Sang Matahari
penuh ego.
“Aku hadir atas kehendak Tuhanku,
Aku hilang pun atas kehendak Tuhanku,
dan aku redha asal kejadianku Sang Matahari,”
kata  Sang Pelangi penuh kesyukuran.
Bersyukur kepada Tuhan yang menciptanya.

Pada hari Jumaat  bertarikh 27 Mei 2011
pada pukul  1.15 tengahari keadaan telah
menundukkan Sang Matahari yang ego selama ini,
apabila Penciptanya menunjukkan kuasaNya
kepada Sang Matahari  yang selama ini ego
dengan kekuasaannya, apabila Sang  Pelangi
mengelilingi Sang Matahari dan Dikirimkan
juga bulatan cahaya yang lebih bersinar daripada
Sang Matahari!
Sang Matahari hilang egonya…  dia bertaubat
kepada Allah kerana selama ini dia sombong
kepada Sang Pelangi dan Penghuni Bumi.
Sehebat mana pun Sang Matahari tidak boleh
menandingi  kehebatan Yang Mencipta
kewujudannya !

Karya:Ummu Sal
15 Jun  2011

YA ALLAH REDHAILAH USAHAKU INI

PENGHARAPANKU PADAMU YA ALLAH

Aku bukanlah  orang pandai tapi
minat kerja macam orang bijak pandai.
Pening memang pening,
 sakit kepalaku
kerana siapalah aku nak dibandingkan
mereka yang bijak pandai.
 Dengan pertolongan Allah yang Maha Bijak,
Dia mengilhamkanku,
Syukurku padaNya.
 Insya-Allah selagi  dikurniakan
kudrat pemikiran   ku usahakan selagi larat
biarpun tidak dipandang manusia aku redha
 tapi pandangan ihsanMu amat aku harapkan
sepenuh jiwaku kerana aku teramat takut sekiranya
di alam akhirat nanti biarpun aku menangis air mata
darah sepenuh alam sekalipun Kau tak akan pandang!
Aku tak mahu begitu Ya Allah!
Dengan air mata penuh pengharapan ini Kau pandang
dan terimalah segala usahaku ini.  Amin.

Karya: Ummu Sal
(29.4.2011)

Friday 5 August 2011

ULAT ROH

Semua orang pasti mati
tak tahu bila masanya
akan mati
mahu tak mahu pasti tempuhi juga
muda atau tua
pasti mati
aku tak terkecuali
pasti mati
adakah aku takut?
Ya ...aku takut
kalau matinya aku
tanpa bekalan
kalau aku yakin ada bekalan
tapi aku tetap takut
takut bekalan yang kubawa
tidak diterimaNya
lalu aku dicampakkan ke Neraka
itulah yang kutakuti
bukan aku takut mati
aku takut...aku takut bekalanku tak diterimaNya nanti.

Apabila mati...
Jasadku tentu membusuk
dimakan jutaan ulat
jika itu hukum alam
aku redha
tapi jika amalanku
dimakan ulat-ulat rohku
macam mana?
Allahu Akbar
merana rohku
merana yang tak tertebus!
Nak menangis pun tak berguna
jasad dah hancur dimakan ulat
tangisan roh percuma saja.

Ya Allah ... aku rela jasadku dimakan ulat
tapi aku tak mahu amalanku dimakan ulat-ulat roh
tolonglah Ya Allah kasihanlah aku
izinkan aku melakukan amalan ikhlas semata keranaMu
agar ianya menjadi
bekalan yang Kau terima
dan jauhkan bekalanku dimakan ulat-ulat roh.
Amin Ya Rabbal A'Lamin.


Karya:  Ummu Sal
22 Jun 2011


  

PASTI

Perjalanan ini...
pasti menemukan satu tujuan pasti
kematian adalah pasti

kehidupan terlalu bermakna
tutur kata bermakna
amalan bermakna
barulah semuanya terlaksana
untuk ke negeri Sana
yang pastinya kekal abadi
Negeri Akhirat
kepunyaan Maha Pencipta Semesta Alam
untuk hambaNya
dinilai untung nasib
samada Syurga atau Neraka!
Balasan setiap hambaNya
adalah pasti!


Karya: Ummu Sal
       16 Jun 2011

SYUKUR TAK TERUCAP ROHMU DI KALA INI

Pergimu mengadap Illahi
Perjuanganmu di dunia tamat kini
Perjuangan di akhirat kini dilalui
Moga bekalan akhirat mencukupi
Ilmu yang ditinggalkan
Bagaikan Bunga-Bunga Syurga
Mekar mewangi di laman hati
Tumbuh subur di perdu kalbu
Lebat buahnya merimbun
Mencecah bumi
Lalu dipetik
Dimakan
Disemai
Dibajai
Dengan cinta suci
Meng- Esa- kan Allah seabadi takwa
Itulah matlamat perjuanganmu tika di dunia dulu
Kini menjadi bekalan untuk dituai di alam akhiratmu
Syukur tak terucap rohmu di kala ini!

Karya: Ummu Sal
20 Julai 2011