Saturday 6 August 2011

MOGA BEKALAN BERKEKALAN HINGGA KE MATI

Seratus ribu kali sehari jantung berdegup,
Berapa kali pula hati berzikir;
Daripada bercakap kosong baiklah senyap,
Itu tandanya orang berfikir.

Hendak tidur tidurlah mata,
Moga esokkan dirahmati;
Ilmu dicurah bagaikan permata,
Moga di Sana terus diberkati.

Duhai saudara janganlah bimbang,
Kudoakan hidup matimu diredhai;
Dakwah dan tintamu menjadi lambang,
Itu tandanya ilmumu dirahmati.

Seratus ribu kali sehari jantung berdegup,
Setiap nafas adakah zikir untuk-Nya;
Itulah bekalan di masa hidup,
Dihitung di akhirat sebagai penyelamatnya.

Bersatu hati atas tali Allah,
Menyebarkan dakwah kerana cinta  pada-Nya;
Melalui pena kita berdakwah,
Moga di akhirat menjadi bekalannya.

Syukur  sungguh  mendapat sahabat,
Sahabat akhirat menyatukan hati;
Matlamatnya sama untuk bekalan akhirat,
Bila berpena harus berhati-hati.

Hidup ini cuma sementara,
Bila tiada hilanglah semuanya;
Hanya tinggal semangat membara,
Tanda kasih pada yang hidup untuk selamanya.

Kasihku pada pembaca melebihi diriku,
Kalian adalah penyambung dunia akhiratku;
Apa kesalahan  maafkan daku,
Sepotong doamu penyeri akhiratku.

Bicara tentang  Allah tiada penghujungnya,
Seperti berada di Taman-Taman Syurga;
Tenangnya jiwa selamanya,
Tutur katamu bak penghuni Syurga.

Cinta pada Allah seutuhnya,
Wangian cinta mendapat redha-Nya;
Berkasih sayang hanya kerana-Nya
Seperti berada di Taman Syurga-Nya.

Wajah berseri mendapat hidayah,
Rasakan dunia tak ke mana;
Hati terpaut hanya kepada Allah,
Moga diredhai bila ke Sana.

Kutinggalkan ilmu bukan untuk dibanggai,
Hanya semata kerana  Allah dicintai;
Biar pembaca  mendoakan kunanti,
 Sebar luaskanlah  penaku ini.

Sama-sama mencari cinta Allah,
Di alam maya  kita disatukan;
Saling bertarbiyah kerana-Mu  Ya Allah,
Balaslah cinta kami itulah yang diaminkan.

Berbaik sangka sesama sendiri,
Sahabat akhirat sahabat sejati;
Amalan riak memakan diri,
Saling ingat mengingati menuju mati.

Orang  bijak  ingat mati,
Semasa hidup muhasabah diri;
Di dalam kubur tidak sendiri,
Amal ibadat peneman diri.

Teman baik saling muhasabah diri,
Saling mengingati di hari mati;
Hatimu luhur hidup menerangi,
Moga amalan berkekalan hingga ke mati.


Karya:   Ummu Sal
(14.3.2011)

2 comments:

  1. Tampaknya Haidi, harus banyak belajar lagi untuk membuat pantun. Tolonglah bagi ilmunya kepada Haidi.

    ReplyDelete
  2. Insya-Allah selalu membaca pantun...lama-lama bolehlah Haidi Yan mengarang pantun.

    Haidi Yan peminat karyaku,
    Pembaca setia yang kuhormati;
    Kusentiasa doakan kejayaanmu,
    Kejayaan dunia akhirat yang diidami.

    ReplyDelete